1: PERBUATAN ZAHIR DAN SUASANA HATI

SEBAHAGIAN DARIPADA TANDA BERSANDAR KEPADA AMAL (PERBUATAN ZAHIR)
ADALAH BERKURANGAN HARAPANNYA (SUASANA HATI) TATKALA BERLAKU
PADANYA KESALAHAN.

Imam Ibnu Athaillah memulakan Kalam Hikmat beliau dengan mengajak kita
merenung kepada hakikat amal. Amal boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu
perbuatan zahir dan perbuatan hati atau suasana hati berhubung dengan
perbuatan zahir itu. Beberapa orang boleh melakukan perbuatan zahir yang
serupa tetapi suasana hati berhubung dengan perbuatan zahir itu tidak serupa.
Kesan amalan zahir kepada hati berbeza antara seorang dengan seorang yang
lain. Jika amalan zahir itu mempengaruhi suasana hati, maka hati itu dikatakan
bersandar kepada amalan zahir. Jika hati dipengaruhi juga oleh amalan hati,
maka hati itu dikatakan bersandar juga kepada amal, sekalipun ianya amalan
batin. Hati yang bebas daripada bersandar kepada amal sama ada amal zahir
atau amal batin adalah hati yang menghadap kepada Allah s.w.t dan meletakkan
pergantungan kepada-Nya tanpa membawa sebarang amal, zahir atau batin,
serta menyerah sepenuhnya kepada Allah s.w.t tanpa sebarang takwil atau
tuntutan. Hati yang demikian tidak menjadikan amalnya, zahir dan batin, walau
berapa banyak sekalipun, sebagai alat untuk tawar menawar dengan Tuhan bagi
mendapatkan sesuatu. Amalan tidak menjadi perantaraan di antaranya dengan
Tuhannya. Orang yang seperti ini tidak membataskan kekuasaan dan
kemurahan Tuhan untuk tunduk kepada perbuatan manusia. Allah s.w.t Yang
Maha Berdiri Dengan Sendiri berbuat sesuatu menurut kehendak-Nya tanpa
dipengaruhi oleh sesiapa dan sesuatu. Apa sahaja yang mengenai Allah s.w.t
adalah mutlak, tiada had, sempadan dan perbatasan. Oleh kerana itu orang arif
tidak menjadikan amalan sebagai sempadan yang mengongkong ketuhanan
Allah s.w.t atau ‘memaksa’ Allah s.w.t berbuat sesuatu menurut perbuatan
makhluk. Perbuatan Allah s.w.t berada di hadapan dan perbuatan makhluk di
belakang. Tidak pernah terjadi Allah s.w.t mengikuti perkataan dan perbuatan
seseorang atau sesuatu.Sebelum menjadi seorang yang arif, hati manusia
memang berhubung rapat dengan amalan dirinya, baik yang zahir mahu pun
yang batin. Manusia yang kuat bersandar kepada amalan zahir adalah mereka
yang mencari faedah keduniaan dan mereka yang kuat bersandar kepada
amalan batin adalah yang mencari faedah akhirat. Kedua-dua jenis manusia
tersebut berkepercayaan bahawa amalannya menentukan apa yang mereka akan
perolehi baik di dunia dan juga di akhirat. Kepercayaan yang demikian kadang-
kadang membuat manusia hilang atau kurang pergantungan dengan Tuhan.

Pergantungan mereka hanyalah kepada amalan semata-mata ataupun jika
mereka bergantung kepada Allah s.w.t, pergantungan itu bercampur dengan
keraguan. Seseorang manusia boleh memeriksa diri sendiri apakah kuat atau
lemah pergantungannya kepada Allah s.w.t. Kalam Hikmat 1 yang dikeluarkan
oleh Ibnu Athaillah memberi petunjuk mengenainya. Lihatlah kepada hati
apabila kita terperosok ke dalam perbuatan maksiat atau dosa. Jika kesalahan
yang demikian membuat kita berputus asa daripada rahmat dan pertolongan
Allah s.w.t itu tandanya pergantungan kita kepada-Nya sangat lemah. Firman-
Nya:

“Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan
saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta
pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah
melainkan kaum yang kafir ”. ( Ayat 87 : Surah Yusuf )

Ayat di atas menceritakan bahawa orang yang beriman kepada Allah s.w.t
meletakkan pergantungan kepada-Nya walau dalam keadaan bagaimana sekali
pun. Pergantungan kepada Allah s.w.t membuat hati tidak berputus asa dalam
menghadapi dugaan hidup. Kadang-kadang apa yang diingini, dirancangkan
dan diusahakan tidak mendatangkan hasil yang diharapkan. Kegagalan
mendapatkan sesuatu yang diingini bukan bermakna tidak menerima pemberian
Allah s.w.t. Selagi seseorang itu beriman dan bergantung kepada-Nya selagi
itulah Dia melimpahkan rahmat-Nya. Kegagalan memperolehi apa yang
dihajatkan bukan bermakna tidak mendapat rahmat Allah s.w.t. Apa juga yang
Allah s.w.t lakukan kepada orang yang beriman pasti terdapat rahmat-Nya,
walaupun dalam soal tidak menyampaikan hajatnya. Keyakinan terhadap yang
demikian menjadikan orang yang beriman tabah menghadapi ujian hidup, tidak
sekali-kali berputus asa. Mereka yakin bahawa apabila mereka sandarkan segala
perkara kepada Allah s.w.t, maka apa juga amal kebaikan yang mereka lakukan
tidak akan menjadi sia-sia.
Orang yang tidak beriman kepada Allah s.w.t berada dalam situasi yang
berbeza. Pergantungan mereka hanya tertuju kepada amalan mereka, yang
terkandung di dalamnya ilmu dan usaha. Apabila mereka mengadakan sesuatu
usaha berdasarkan kebolehan dan pengetahuan yang mereka ada, mereka
mengharapkan akan mendapat hasil yang setimpal. Jika ilmu dan usaha
(termasuklah pertolongan orang lain) gagal mendatangkan hasil, mereka tidak
mempunyai tempat bersandar lagi. Jadilah mereka orang yang berputus asa.
Mereka tidak dapat melihat hikmat kebijaksanaan Allah s.w.t mengatur perjalanan takdir dan mereka tidak mendapat rahmat dari-Nya.

Jika orang kafir tidak bersandar kepada Allah s.w.t dan mudah berputus asa, di
kalangan sebahagian orang Islam juga ada yang demikian, bergantung setakat
mana sifatnya menyerupai sifat orang kafir. Orang yang seperti ini melakukan
amalan kerana kepentingan diri sendiri, bukan kerana Allah s.w.t. Orang ini
mungkin mengharapkan dengan amalannya itu dia dapat mengecapi
kemakmuran hidup di dunia.Dia mengharapkan semoga amal kebajikan yang
dilakukannya dapat mengeluarkan hasil dalam bentuk bertambah rezekinya,
kedudukannya atau pangkatnya, orang lain semakin menghormatinya dan dia
juga dihindarkan daripada bala penyakit, kemiskinan dan sebagainya.
Bertambah banyak amal kebaikan yang dilakukannya bertambah besarlah
harapan dan keyakinannya tentang kesejahteraan hidupnya.
Sebahagian kaum muslimin yang lain mengaitkan amal kebaikan dengan
kemuliaan hidup di akhirat. Mereka memandang amal salih sebagai tiket untuk
memasuki syurga, juga bagi menjauhkan azab api neraka. Kerohanian orang
yang bersandar kepada amal sangat lemah, terutamanya mereka yang mencari
keuntungan keduniaan dengan amal mereka. Mereka tidak tahan menempuh
ujian. Mereka mengharapkan perjalanan hidup mereka sentiasa selesa dan
segala-segalanya berjalan menurut apa yang dirancangkan. Apabila sesuatu itu
berlaku di luar jangkaan, mereka cepat naik panik dan gelisah. Bala bencana
membuat mereka merasakan yang merekalah manusia yang paling malang di
atas muka bumi ini. Bila berjaya memperoleh sesuatu kebaikan, mereka
merasakan kejayaan itu disebabkan kepandaian dan kebolehan mereka sendiri.
Mereka mudah menjadi ego serta suka menyombong.
Apabila rohani seseorang bertambah teguh dia melihat amal itu sebagai jalan
untuknya mendekatkan diri dengan Tuhan. Hatinya tidak lagi cenderung
kepada faedah duniawi dan ukhrawi tetapi dia berharap untuk mendapatkan
kurniaan Allah s.w.t seperti terbuka hijab-hijab yang menutupi hatinya. Orang
ini merasakan amalnya yang membawanya kepada Tuhan. Dia sering
mengaitkan pencapaiannya dalam bidang kerohanian dengan amal yang banyak
dilakukannya seperti berzikir, bersembahyang sunat, berpuasa dan lain-lain. Bila
dia tertinggal melakukan sesuatu amal yang biasa dilakukannya atau bila dia
tergelincir melakukan kesalahan maka dia berasa dijauhkan oleh Tuhan. Inilah
orang yang pada peringkat permulaan mendekatkan dirinya dengan Tuhan
melalui amalan tarekat tasauf.
Jadi, ada golongan yang bersandar kepada amal semata-mata dan ada pula
golongan yang bersandar kepada Tuhan melalui amal. Kedua-dua golongan
tersebut berpegang kepada keberkesanan amal dalam mendapatkan sesuatu.
Golongan pertama kuat berpegang kepada amal zahir, iaitu perbuatan zahir yang dinamakan usaha atau ikhtiar. Jika mereka tersalah memilih ikhtiar,
hilanglah harapan mereka untuk mendapatkan apa yang mereka hajatkan. Ahli
tarekat yang masih diperingkat permulaan pula kuat bersandar kepada amalan
batin seperti sembahyang dan berzikir. Jika mereka tertinggal melakukan
sesuatu amalan yang biasa mereka lakukan, akan berkurangan harapan mereka
untuk mendapatkan anugerah dari Allah s.w.t. Sekiranya mereka tergelincir
melakukan dosa, akan putuslah harapan mereka untuk mendapatkan anugerah
Allah s.w.t.  Dalam perkara bersandar kepada amal ini, termasuklah juga bersandar kepada
ilmu, sama ada ilmu zahir atau ilmu batin. Ilmu zahir adalah ilmu pentadbiran
dan pengurusan sesuatu perkara menurut kekuatan akal. Ilmu batin pula adalah
ilmu yang menggunakan kekuatan dalaman bagi menyampaikan hajat. Ia
termasuklah penggunaan ayat-ayat al-Quran dan jampi. Kebanyakan orang
meletakkan keberkesanan kepada ayat, jampi dan usaha, hinggakan mereka lupa
kepada Allah s.w.t yang meletakkan keberkesanan kepada tiap sesuatu itu.

Seterusnya, sekiranya Tuhan izinkan, kerohanian seseorang meningkat kepada
makam yang lebih tinggi. Nyata di dalam hatinya maksud kalimat:
Tiada daya dan upaya kecuali beserta Allah.

“Padahal Allah yang mencipta kamu dan benda-benda yang kamu perbuat itu!” ( Ayat
96 : Surah as- Saaffaat )

Orang yang di dalam makam ini tidak lagi melihat kepada amalnya, walaupun
banyak amal yang dilakukannya namun, hatinya tetap melihat bahawa semua
amalan tersebut adalah kurniaan Allah s.w.t kepadanya. Jika tidak kerana taufik
dan hidayat dari Allah s.w.t tentu tidak ada amal kebaikan yang dapat
dilakukannya. Allah s.w.t berfirman:

“Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku
tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur
maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang
tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi masalah kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah”.  ( Ayat 40 : Surah an-Naml )  

Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara
yang dikehendaki Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha
Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendaki-Nya). Ia memasukkan
sesiapa yang kehendaki-Nya (menurut aturan yang ditetapkan) ke dalam rahmat-Nya
(dengan ditempatkan-Nya di dalam syurga); dan orang-orang yang zalim, Ia
menyediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya. ( Ayat 30 & 31 :
Surah al-Insaan )

Segala-galanya adalah kurniaan Allah s.w.t dan menjadi milik-Nya. Orang ini
melihat kepada takdir yang Allah s.w.t tentukan, tidak terlihat olehnya
keberkesanan perbuatan makhluk termasuklah perbuatan dirinya sendiri.
Makam ini dinamakan makam ariffin iaitu orang yang mengenal Allah s.w.t.
Golongan ini tidak lagi bersandar kepada amal namun, merekalah yang paling
kuat mengerjakan amal ibadat.
Orang yang masuk ke dalam lautan takdir, reda dengan segala yang ditentukan
Allah s.w.t, akan sentiasa tenang, tidak berdukacita bila kehilangan atau
ketiadaan sesuatu. Mereka tidak melihat makhluk sebagai penyebab atau
pengeluar kesan.
Di awal perjalanan menuju Allah s.w.t, seseorang itu kuat beramal menurut
tuntutan syariat. Dia melihat amalan itu sebagai kenderaan yang boleh
membawanya hampir dengan Allah s.w.t. Semakin kuat dia beramal semakin
besarlah harapannya untuk berjaya dalam perjalanannya. Apabila dia mencapai
satu tahap, pandangan mata hatinya terhadap amal mula berubah. Dia tidak lagi
melihat amalan sebagai alat atau penyebab. Pandangannya beralih kepada
kurniaan Allah s.w.t. Dia melihat semua amalannya adalah kurniaan Allah s.w.t
kepadanya dan kehampirannya dengan Allah s.w.t juga kurniaan-Nya.
Seterusnya terbuka hijab yang menutupi dirinya dan dia mengenali dirinya dan
mengenali Tuhannya. Dia melihat dirinya sangat lemah, hina, jahil, serba
kekurangan dan faqir. Tuhan adalah Maha Kaya, Berkuasa, Mulia, Bijaksana dan
Sempurna dalam segala segi. Bila dia sudah mengenali dirinya dan Tuhannya,
pandangan mata hatinya tertuju kepada Kudrat dan Iradat Allah s.w.t yang
menerajui segala sesuatu dalam alam maya ini. Jadilah dia seorang arif yang
sentiasa memandang kepada Allah s.w.t, berserah diri kepada-Nya, bergantung
dan berhajat kepada-Nya. Dia hanyalah hamba Allah s.w.t yang faqir.

 

 

Tinggalkan komentar