Hikmat 1 menerangkan tanda orang yang bersandar kepada amal. Bergantung
kepada amal adalah sifat manusia biasa yang hidup dalam dunia ini. Dunia ini
dinamakan alam asbab. Apabila perjalanan hidup keduniaan dipandang melalui
mata ilmu atau mata akal akan dapat disaksikan kerapian susunan sistem sebab
musabab yang mempengaruhi segala kejadian. Tiap sesuatu berlaku menurut
sebab yang menyebabkan ia berlaku. Hubungan sebab dengan akibat sangat
erat. Mata akal melihat dengan jelas keberkesanan sebab dalam menentukan
akibat. Kerapian sistem sebab musabab ini membolehkan manusia mengambil
manfaat daripada anasir dan kejadian alam. Manusia dapat menentukan anasir
yang boleh memudaratkan kesihatan lalu menjauhkannya dan manusia juga
boleh menentukan anasir yang boleh menjadi ubat lalu menggunakannya.
Manusia boleh membuat ramalan cuaca, pasang surut air laut, angin, ombak,
letupan gunung berapi dan lain-lain kerana sistem yang mengawal perjalanan
anasir alam berada dalam suasana yang sangat rapi dan sempurna, membentuk
hubungan sebab dan akibat yang padu.
Allah s.w.t mengadakan sistem sebab musabab yang rapi adalah untuk
kemudahan manusia menyusun kehidupan mereka di dunia ini. Kekuatan akal
dan pancaindera manusia mampu mentadbir kehidupan yang dikaitkan dengan
perjalanan sebab musabab. Hasil daripada pemerhatian dan kajian akal itulah
lahir berbagai-bagai jenis ilmu tentang alam dan kehidupan, seperti ilmu sains,
astronomi, kedoktoran, teknologi maklumat dan sebagainya. Semua jenis ilmu
itu dibentuk berdasarkan perjalanan hukum sebab-akibat.
Kerapian sistem sebab musabab menyebabkan manusia terikat kuat dengan
hukum sebab-akibat. Manusia bergantung kepada amal (sebab) dalam
mendapatkan hasil (akibat). Manusia yang melihat kepada keberkesanan sebab
dalam menentukan akibat serta bersandar dengannya dinamakan ahli asbab.
Sistem sebab musabab atau perjalanan hukum sebab-akibat sering membuat
manusia lupa kepada kekuasaan Allah s.w.t. Mereka melakukan sesuatu dengan
penuh keyakinan bahawa akibat akan lahir daripada sebab, seolah-olah Allah
s.w.t tidak ikut campur dalam urusan mereka. Allah s.w.t tidak suka hamba-Nya
‘mempertuhankan’ sesuatu kekuatan sehingga mereka lupa kepada kekuasaan-
Nya. Allah s.w.t tidak suka jika hamba-Nya sampai kepada tahap
mempersekutukan diri-Nya dan kekuasaan-Nya dengan anasir alam dan
hukum sebab-akibat ciptaan-Nya. Dia yang meletakkan keberkesanan kepada
anasir alam berkuasa membuat anasir alam itu lemah semula. Dia yang
meletakkan kerapian pada hukum sebab-akibat berkuasa merombak hukum
tersebut. Dia mengutuskan rasul-rasul dan nabi-nabi membawa mukjizat yang
merombak hukum sebab-akibat bagi mengembalikan pandangan manusia
kepada-Nya, agar waham sebab musabab tidak menghijab ketuhanan-Nya.
Kelahiran Nabi Isa a.s, terbelahnya laut dipukul oleh tongkat Nabi Musa a.s,
kehilangan kuasa membakar yang ada pada api tatkala Nabi Ibrahim a.s masuk
ke dalamnya, keluarnya air yang jernih dari jari-jari Nabi Muhammad s.a.w dan
banyak lagi yang didatangkan oleh Allah s.w.t, merombak keberkesanan hukum
sebab-akibat bagi menyedarkan manusia tentang hakikat bahawa kekuasaan
Allah s.w.t yang menerajui perjalanan alam maya dan hukum sebab-akibat.
Alam dan hukum yang ada padanya seharusnya membuat manusia mengenal
Tuhan, bukan menutup pandangan kepada Tuhan. Sebahagian daripada
manusia diselamatkan Allah s.w.t daripada waham sebab musabab. Sebagai manusia yang hidup dalam dunia mereka masih bergerak dalam arus
sebab musabab tetapi mereka tidak meletakkan keberkesanan hukum kepada
sebab. Mereka sentiasa melihat kekuasaan Allah s.w.t yang menetapkan atau
mencabut keberkesanan pada sesuatu hukum sebab-akibat. Jika sesuatu sebab
berjaya mengeluarkan akibat menurut yang biasa terjadi, mereka melihatnya
sebagai kekuasaan Allah s.w.t yang menetapkan kekuatan kepada sebab tersebut
dan Allah s.w.t juga yang mengeluarkan akibatnya. Allah s.w.t berfirman:
Segala yang ada di langit dan di bumi tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dialah
Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Dialah sahaja yang menguasai dan memiliki
langit dan bumi; Ia menghidupkan dan mematikan; dan Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap
sesuatu. ( Ayat 1 & 2 : Surah al-Hadiid )
Maka Kami (Allah) berfirman: “Pukullah si mati dengan sebahagian anggota lembu yang kamu sembelih itu”. (Mereka pun memukulnya dan ia kembali hidup). Demikianlah Allah menghidupkan orang-orang yang telah mati, dan memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaan-Nya, supaya kamu memahaminya. ( Ayat 73 : Surah al-
Baqarah )
Orang yang melihat kepada kekuasaan Allah s.w.t menerajui hukum sebabakibat
tidak meletakkan keberkesanan kepada hukum tersebut. Pergantungannya kepada Allah s.w.t, tidak kepada amal yang menjadi sebab.Orang yang seperti ini dipanggil ahli tajrid.
Ahli tajrid, seperti juga ahli asbab, melakukan sesuatu menurut peraturan sebabakibat.
Ahli tajrid juga makan dan minum Ahli tajrid memanaskan badan dan memasak dengan menggunakan api juga. Ahli tajrid juga melakukan sesuatu pekerjaan yang berhubung dengan rezekinya. Tidak ada perbezaan di antara amal ahli tajrid dengan amal ahli asbab. Perbezaannya terletak di dalam diri iaitu hati. Ahli asbab melihat kepada kekuatan hukum alam. Ahli tajrid melihat kepada kekuasaan Allah s.w.t pada hukum alam itu. Walaupun ahli asbab mengakui kekuasaan Allah s.w.t tetapi penghayatan dan kekuatannya pada hati tidak sekuat ahli tajrid.